Tuesday, 16 January 2018
TFC II benam cabaran TFC I, 2-0
SKUAD Terengganu FC (TFC) II berjaya mengenepikan cabaran pasukan ‘abang’ TFC I apabila meraih kemenangan 2-0 pada saingan Kejohanan 4 Penjuru, Piala YAB Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
Sebaik perlawanan bermula gawang TFC II hampir dibolosi ekoran kesilapan benteng pertahanan tuan rumah seawal minit kedua permainan, namun percubaan Mohd Fauzi Abdul Kadar berjaya dinafikan Mohd Ameriul Hakimi Awang.
Lima minit selepas itu giliran skuad kendalian Mustafa Kamal Abd Wahab pula menguji gawang TFC I menerusi rembatan liar Dhiyaulrahman Mohd Hasri bagaimana gagal menemui pintu gol.
Peluang buat tuan rumah untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-11, bagaimanapun sepakan deras Muhd Fakhrurazi Musa sekadar mengegarkan tiang gol.
Dua percubaan itu jelas menyuntik semangat kem tuan rumah apabila terus menggandakan rentak permainan dan berjaya memiliki dua peluang terbaik untuk berada di depan tetapi gagal dimanfaatkan dengan kemas Akkani Sunday (minit 18) dan Dhiyaulrahman (minit 32).
Tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah, kem pelawat kembali mengatur serangan dalam memburu gol namun sepakan lemah K Partiban pada minit ke-35 mudah diselamatkan Mohd Ameriul Hakimi.
Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperkemaskan corak permainan masing-masing dan kem TFC I hampir menamatkan kebuntuan gol pada minit ke-52 hasil hantaran Mohd Faiz Mohd Nasir, namun tandukan Abdul Latif Suhaimi sekadar melepasi palang gol.
Tuan rumah yang sesekali melancarkan serangan berjaya mencemaskan gawang pelawat, bagaimanapun Muhd Syazwan Yussof terlebih dahulu bertindak cemerlang menafikan percubaan jarak jauh Dhiyaulrahman pada minit 67.
Usaha TFC II dalam meraih jaringan akhirnya tertunai apabila Akkani Sunday berjaya meledakkan gol pembukaan pada minit 73 sekaligus membawa tuan rumah di depan.
Dua minit berselang, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim hampir menyamakan kedudukan, namun sepakan percuma yang dilakukan Mohd Faiz Mohd Nasir berjaya ditepis keluar Mohd Amierul Hakimi.
Sebaliknya, kem tuan rumah berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan kedua yang disempurnakan dengan kemas, Bruno Junichi Suzuki Castanhiera pada minit 78 menjadikan kedudukan 2-0.
Pelawat yang cuba bangkit dipenghujung perlawanan bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila kem tuan rumah terus mempertahankan kemenangan mereka sehingga tamat perlawanan. Sumber - Sinar Harian
Labels:
BOLA SEPAK,
LIGA MALAYSIA,
LIGA SUPER,
MSL18/19,
SUKAN,
TERENGGANU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment