Tuesday 16 January 2018

'Danial tak rasa seperti wira'


PEMAIN tengah, Danial Amier Norhisham tidak menganggap dirinya sebagai wira meskipun jaringannya membolehkan skuad negara menewaskan Arab Saudi 1-0 sekali gus melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di Kunshan, semalam.

Menurut Danial, kejutan yang dilakar ke atas naib juara 2013 itu adalah hasil semangat juang semua pemain.

"Tak sangka sebab kami bukan pasukan harapan, kami cuma beri yang terbaik untuk pasukan dan Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol untuk membantu pasukan layak ke suku akhir.

"Bagi Danial, tak rasa seperti wira, semua ini atas bantuan kawan-kawan juga, kalau mereka tak buat hantaran, Danial tak akan dapat menjaringkan gol.

"Sebagai pemain bola sepak, mesti mengidam untuk menjaringkan gol buat pasukan kebangsaan, ini gol pertama Danial untuk pasukan kebangsaan dan saya memang rasa bangga dan terharu. Kejayaan ini untuk ibu bapa dan seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui hari ini.

Danial yang bergandingan dengan Nor Azam Azih di bahagian tengah meledak gol kemenangan pada minit ke-28 menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti hasil gerakan Matthew Davies.

Ia jaringan pertama pemain FELDA United itu pada perlawanan antarabangsa dan sememangnya cukup bererti untuknya selepas hampir menggantung but apabila skuad Frenz United dibubarkan pada 2016.

Danial tidak beraksi dalam sebarang perlawanan kompetetif selama lapan bulan sebelum kembali dengan menyertai skuad Piala Presiden FELDA United tahun lalu.

Pemain kelahiran Keramat, Kuala Lumpur itu tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada untuk terus mencipta sejarah.

"Bagi aksi suku akhir bukan kami tak letakkan sasaran, bila kami sudah sampai ke tahap ini, kami tak mahu sia-siakan, kalau ada rezeki kami akan sampai separuh akhir, mana tahu ada rezeki kami akan ke final," katanya.

Skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee yang muncul naib juara Kumpulan C akan turun beraksi pada suku akhir Sabtu ini di Stadium Kunshan menentang juara Kumpulan D yang bakal ditentukan Korea Selatan, Vietnam, Australia dan Syria. - Berita Harian

TFC II benam cabaran TFC I, 2-0


SKUAD Terengganu FC (TFC) II berjaya mengenepikan cabaran pasukan ‘abang’ TFC I apabila meraih kemenangan 2-0 pada saingan Kejohanan 4 Penjuru, Piala YAB Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Sebaik perlawanan bermula gawang TFC II hampir dibolosi ekoran kesilapan benteng pertahanan tuan rumah seawal minit kedua permainan, namun percubaan Mohd Fauzi Abdul Kadar berjaya dinafikan Mohd Ameriul Hakimi Awang.

Lima minit selepas itu giliran skuad kendalian Mustafa Kamal Abd Wahab pula menguji gawang TFC I menerusi rembatan liar Dhiyaulrahman Mohd Hasri bagaimana gagal menemui pintu gol.
Peluang buat tuan rumah untuk membuka jaringan hadir pada minit ke-11, bagaimanapun sepakan deras Muhd Fakhrurazi Musa sekadar mengegarkan tiang gol.

Dua percubaan itu jelas menyuntik semangat kem tuan rumah apabila terus menggandakan rentak permainan dan berjaya memiliki dua peluang terbaik untuk berada di depan tetapi gagal dimanfaatkan dengan kemas Akkani Sunday (minit 18) dan Dhiyaulrahman (minit 32).

Tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah, kem pelawat kembali mengatur serangan dalam memburu gol namun sepakan lemah K Partiban pada minit ke-35 mudah diselamatkan Mohd Ameriul Hakimi.

Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperkemaskan corak permainan masing-masing dan kem TFC I hampir menamatkan kebuntuan gol pada minit ke-52 hasil hantaran Mohd Faiz Mohd Nasir, namun tandukan Abdul Latif Suhaimi sekadar melepasi palang gol.

Tuan rumah yang sesekali melancarkan serangan berjaya mencemaskan gawang pelawat, bagaimanapun Muhd Syazwan Yussof terlebih dahulu bertindak cemerlang menafikan percubaan jarak jauh Dhiyaulrahman pada minit 67.

Usaha TFC II dalam meraih jaringan akhirnya tertunai apabila Akkani Sunday berjaya meledakkan gol pembukaan pada minit 73 sekaligus membawa tuan rumah di depan.

Dua minit berselang, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim hampir menyamakan kedudukan, namun sepakan percuma yang dilakukan Mohd Faiz Mohd Nasir berjaya ditepis keluar Mohd Amierul Hakimi.

Sebaliknya, kem tuan rumah berjaya mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan kedua yang disempurnakan dengan kemas, Bruno Junichi Suzuki Castanhiera pada minit 78 menjadikan kedudukan 2-0.

Pelawat yang cuba bangkit dipenghujung perlawanan bagaimanapun terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila kem tuan rumah terus mempertahankan kemenangan mereka sehingga tamat perlawanan. Sumber - Sinar Harian

Saturday 13 January 2018

Harimau Selatan lancar jersi rasmi musim 2018/19



PENYANDANG Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasminya melancarkan jersi yang bakal digunakan pasukan berkenaan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim 2018/2019 ini.

Majlis pelancaran yang diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru itu disambut meriah oleh ribuan penyokong tegar pasukan berkenaan yang mula mengunjungi pekarangan dataran bermula jam 6 petang.

Untuk saingan Liga M musim ini, Harimau Selatan sekali menampilkan Nike sebagai penaja rasmi bagi kit pasukan itu berdasarkan daripada perjanjian selama tiga tahun bersama jenama terkemuka tersebut yang telah dimeterai musim lalu.

Selain pasukan utama JDT, tiga pasukan lain yang bernaung di bawah Kelab Bolasepak JDT, JDT II (Liga Perdana), JDT III (Piala Presiden) dan JDT IV (Liga Belia) turut mendapat tajaan yang sama.

Tiga warna simbolik iaitu biru sebagai kit rumah (home), merah kit pelawat (away) dan biru cair kit ketiga (alternate) diperkenal pada majlis disempurnakan Presiden JDT, Tunku Aminah Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim serta Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya.

Turut diadakan sesi jualan jersi berkenaan yang mana harga ditawarkan RM215 sehelai bagi jersi home dan away manakala jersi ketiga pula dengan harga RM179.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodridgues berkata, pihaknya berbesar hati menaja sebuah pasukan yang memiliki falsafah yang cukup jelas dalam memacu kejayaan yang lebih besar.

“Nike gembira dapat menjadi rakan kongsi kepada sebuah kelab yang memiliki rekod terbaik dalam Malaysia,” katanya. - Sinar Harian